Sunday, June 2, 2013

MAJLIS AQIQAH MUHAMMAD YASSIR


NAK AQIQAH YASSIR


Sebenarnya dah lama nak aqiqahkan Yassir, tapi tak sempat-sempat. Setiap kali merancang nak buat, ada sahaja program yang melibatkan komitmen kami di luar. Kita merancang dan Allah pun merancang. Alhamdulilah, akhirnya ada juga masa yang laksanakan ibadah Aqiqah untuk Muhamad Yassir.

Ibadah Aqiqah untuk Muhammad Yassir akan dibuat sama hari dengan majlis Pernikahan Ipar kami, iaitu pada minggu ini. Semoga semuanya dipermudahkan dan diberkati oleh Allah.

Sempena nak laksanakan ibadah Aqiqah ini, saya nak berkongsi sedikit tentang Ibadah ini dan apakah sebenarnya hikmah ibadah ini disyariatkan oleh Allah.


IBADAH AQIQAH
Manakala menurut Imam Ahmad, "Persoalan aqiqah menurut pandangan kami adalah bahawa orang yang menyembelih aqiqah. Dia boleh melakukan aqiqah untuk anaknya dengan kambing, sama ada kambing jantan mahupun betina. Aqiqah itu bukanlah wajib, akan tetapi mustahab (disukai/sunnah) dan ia sentiasa diamalkan oleh orang-orang dari kalangan kita." (Al-Muwata' bab Aqiqah) 


Menurut Ibnu Qayyim, beliau memetik kata-kata Imam Jauhari bahawa Aqiqah adalah "Menyembelih haiwah pada hari ketujuh bayi dilahirkan dan mencukur rambutnya." (Tufatul Maudud)

Kalau ikutkan definasi yang diambil dari Ibnu Qayyim kebanyakkan para ulama meletakkan kadar hari untuk melaksanakan aqiqah.  Tetapi Ibnu Qayyim memberi sedikit penjelasan dalam kitab yang sama tentang perkara ini dengan berkata, " Ibnul Qayyim, "Melaksanakan aqiqah pada hari ke tujuh adalah sunnah. Namun, jika disembelih pada hari ke empat, ke lapan, ke sepuluh, atau selepasnya tetap dikira sebagai aqiqah. Aqiqah itu dikira mengenai hari penyembelihan bukannya hari dimasak dan dimakan."



Antara dalil-dalil yang dapat diambil dari hadith-hadith Nabi adalah:

Dari Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda : “Mengaiqahkan Hasan dan Husain dengan satu kambing dan satu kambing.” (hadith diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam At-Tabrani, dan sanad hadith ini sahih)

Rasulullah bersabda, "Barangsiapa diantara kalian yang ingin menyembelih (kambing) sempena kelahiran bayi maka hendaklah lakukan untuk lelaki dua kambing yang sama dan untuk perempuan satu kambing." (Hadith diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam An-Nasai, Imam Ahmad, dan disahihkan oleh Imam al-Hakim)  


BERAPA EKOR KAMBING?
Kalau baca dua hadith di atas secara zahir tanpa melihat perbahasan para ulama hadit mengenainya, pasti ada yang kata "kenapa hadith di atas macam berbeza. Satu kata seekor kambing untuk lelaki, satu kata perlu dua ekor kambing untuk anak lelaki?"

Sebenarnya dua-dua betul, sebahagian para ulama menyatakan perlu dua ekor kambing untuk anak lelaki, dan sebahagian para ulama mengatakan seeokor pun tidak mengapa. 

Antara imam besar yang menyatakan cukup seekor untuk anak lelaki adalah Imam Malik. Menurut Imam Malik rahimahullah, "Kadar aqiqah yang mencukupi adalah seekor samada untuk lelaki ataupun perempuan, sebagaimana kata Ibnu Abbas rahimahullah : “Sesungguhnya Rasulullah mengaqiqahkan Hasan dan Husain seekor kambing seekor kambing.” (Rujuk hadith di atas)

Manakala menurut Imam Syafie dan Imam Ahmad rahimahumallah, "Seekor kambing adalah kadar cukup dan dibolehkan, namun paling afdhal adalah disunahkan menyembelih dua ekor kambing yang sama saiznya. Manakala untuk anak perempuan, memadailah dengan seekor kambing sahaja, berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Ummi Kurz al-Ka'biyyah yang bermaksud, "Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda tentang anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan anak perempuan seekor kambing." (hadith diriwayatkan oleh Imam Abu Daud) 


KAMBING UNTUK AQIQAH?
Ada pelbagai pandangan dalam hal ini, sebahagian ulama menghadkan hanya kambing dan sebahagian lain mengatakan selain kambing pun dibolehkan.

Antara ulama besar yang menghadkan hanya kambing dalam ibadah Aqiqah adalah Imam Ibn Hajar. Menrut Imam Ibn Hajar, "Para ulama mengambil dalil dari perkataan syaatun dan kabsyun (kibas, anak kambing yang telah tumbuh gigi gerahamnya) untuk menentukan kambing dijadikan aqiqah." Tambah beliau lagi, "Tidak sah aqiqah seseorang yang menyembelih selain kambing".

Manakala sebahagian para ulama membolehkannya. Dalam al-Mausu’ah al-Fikhiyyah dinyatakan bahawa, "Sah membuat aqiqah dengan jenis (binatang) yang boleh dibuat korban, iaitu binatang ternak yang terdiri dari unta, lembu dan kambing, tidak boleh dengan yang lain. Ini adalah suatu yang disepakati oleh ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Hambali, dan ia juga merupakan pandangan yang lebih rajih (lebih baik) dari dua pandangan di sisi ulama mazhab Malik. Bertentangan dengan pandangan yang lebih rajih ini adalah yang mengatakan aqiqah mesti dilakukan dengan kambing (pandangan ini marjuh atau kurang baik)” 

Manakala Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berpandangan aqiqah dengan kambing hanyalah suatu yang lebih utama berbanding lembu atau unta. (Rujuk al-Syarh al-Mumti’)


MENJAMU DAGING AQIQAH
Disunnah untuk memasak daging Aqiqah dan menjamu orang ramai. Menurut Imam Ibn Qayyim, "Memasak daging Aqiqah adalah sunnah. Ia memudahkan orang miskin dan orang ramai untuk menikmatinya. Disamping itu ia akan menambah kebaikan dan rasa kesyukuran terhadap nikmat tersebut. Jiran, anak-anak dan orang-orang miskin dapat merasainya dengan gembira kerana ia sudah siap dimasak dan dihidangkan, berbanding daging tersebut masih mentah dan perlu dimasak."

Dalam sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah ad-Daimah dari Arab Saudi, para ulama sepakat menyatakan, "Orang yang melakukan aqiqah dan keluarganya boleh memakan daging dari aqiqah, dan dibolehkan memanggil orang ramai, samada golongan fakir atau orang-orang kaya untuk memakannya, samada di rumahnya atau di tempat lain. Urusan dalam perkara ini adalah luas." (Fatwa Lajnah al-Daimah, jilid 11, muka surat 443)

Alhamdulilah, majlis Aqiqah Yassir dibuat sama dengan majlis pernikahan ipar. Oleh itu tiada lagi persoalan sama ada perlu tahlil ada apa-apa majlis berkaitan ibadah sempenah Aqiqah. Cukuplah kami mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah, para sahabat dan mereka yang mengikutinya. Sembelih, menjamu orang ramai dengan daging yang dimasak enak, dan tamat.

“Sesiapa yang mentaatiku, maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang menderhakaiku, maka dia telah menderhakai Allah. Begitu juga sesiapa yang mentaati petugasku, maka dia telah mentaatiku dan sesiapa yang menderhakai petugasku, maka dia telah menderhakaiku.” (Hadis riwayat Bukhari) 



Yussamir / Papa Yassir
Bukit Katil
9:32 malam





No comments:

Post a Comment